Menubuhkan Pusat Pengajian. Husin bin Muhammad Nasir

Pada tahun 1896M, beliau kembali ke Titi Gajah, setelah empat tahun di Mekah. Beliau meneruskan kegiatan mengajar dan menulis buku-buku agama. Satu hal menarik, beliau sering berpindah dalam usaha menyebarkan ilmu kepada masyarakat Beliau menubuhkan pusat-pusat pengajian di mana sahaja beliau tinggal.Pembinaan pondok pengajian adalah 50 di Selengkor, 40 di Padang Lumat dan 100 di Pokok Sena.

Penuntut beliau melangkaui dari Semenanjung, Indonesia dan Thailand (Pattani). Jumlah penuntut beliau sangat ramai antara yang terkenal ialah Allahyarham Lebai Zakaria Pahang, Allahyarham Lebai Sulong (Sungai Bangkalis), Che Nik dan Wan Din (Pattani), Allahyarham Che Ismail Hamzah (Bekas Mufti Perak) dan anak beliau sendiri Allahyarhan Tuan Guru Haji Ahmad Hj. Hussin.

Tuan Husin sering menyarankan bercucuk tanam (padi) dan berniaga. Ini disebabkan beliau seorang ulamak yang praktikal dan mengamalkan prinsip hidup Islam sepanjang hayat. Beliau amat menekankan aspek intelektual, spiritual dan material mengikut tuntutan duniawi dan ukhrawi.

Kegigihan beliau mencari harta untuk diwakafkan kepada kepentingan penyebaran dakwah amatlah terserlah. Beliau mempunyai beratus-ratus relung tanah sawah, getah dan kelapa. Beliau meninggalkan 150 relung tanah sebagai pusaka kepada anak- anaknya.Selebihnya diwakafkan sebagai tapak masjid, tanah perkuburan dan tapak sekolah pondok.